Isnin, 10 Disember 2012

Rumusan Peranan Sastera


Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian, buat suatu rumusan tentang peranan sastera dalam dunia Teknologi Maklumat dan langkah-langkah untuk memajukannya. Panjang rumusan anda mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Sastera dan komputer penting untuk menghasilkan generasi baharu peneraju negara yang cemerlang. Kecemerlangan individu terhasil disebabkan banyak faktor. Satu daripadanya ialah mereka memiliki IQ atau kecerdasan yang tinggi. Selain itu, kecemerlangan yang dicapai sebenarnya dibantu oleh kecanggihan teknologi seperti memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat atau komputer. Namun begitu, kemudahan prasarana dan kemahiran kecergasan emosi telah dikenal pasti sebagai penyumbang lebih besar daripada IQ dalam kejayaan dan kecemerlangan individu. Generasi muda pada peringkat sekolah jika hanya didedahkan kepada komputer akan menjadi robot dan hilang nilai kemanusiaan. Fenomena keruntuhan nilai moral dan kemanusiaan yang melanda remaja di Jepun akibat pengabaian subjek sastera dalam sistem pendididkan mereka perlu dijadikan iktibar. Pihak terbabit di Jepun membuat kajian terhadap fenomena sosial yang melanda remajamereka kini mula menerapkan semula subjek sastera dalam kurikulum pendidikan di Jepun.
            Generasi muda yang tinggi IQ dan mahir dalam komputer belum tentu mampu menerajui negara ke arah kecemerlangan jika mereka tidak mampu mengurus emosi. Kepintaran mengurus emosi hanya diperoleh melalui sastera. Karya sastera bermutu sama ada klasik atau moden mampu mendidik generasi muda menghadapi cabaran hidup yang semakin sukar dalam dunia tanpa sempadan di alaf baharu nanti. Sebagai contoh, Hikayat Hang Tuah yang merupakan  karya agung Melayu, yang akan diterbitkan dalam bentuk CD-Rom terbukti mengandungi nilai murni dan kepintaran emosi yang yang digambarkan melalui watak Hang Tuah. Dalam jangka masa panjang, kebijaksanaan mengurus emosi membuahkan kejayaan kepada diri dan negara. Generasi muda yang celik komputer perlu juga celik kecergasan emosi agar tidak lahir generasi intelek yang buta nilai kemanusiaan dan bakal menjadi perusuh, pemberontak, dan pengacau negara lantaran merek tidak dididik secara seimbang dalam IQ, teknologi maklumat, dan kecergasan emosi.
            Kini sudah tiba masanya sastera dan komputer berjalan seiringan atau dipakejkan bersama-sama dalam pemilihan mata pelajaran di sekolah. Kedua-duanya saling melengkapi, iaitu kemahiran dalam pengkomputeran menjamin masa depan pelajar dari segi komersial manakala sastera menjamin pengurusan hidup seimbang dan harmoni. Melalui cara ini, hasrat melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi, dan intelek dalam Falsafah Pendidikan Negara dapat  direalisasikan. Apabila sastera dan komputer bergerak seiringan, diharap golongan yang akan melaksanakan tanggungjawab menerapkan nilai kemanusiaan menerusi sastera melaksanakan amanah itu dengan penuh minat dan komitmen. Kecanggihan teknologi komputer akan memainkan peranan untuk menghidupkan sastera, khususnya karya klasik oleh sesetengah generasi muda yang dianggap sebagai ketinggalan zaman. Seterusnya, sastera dan kecanggihan teknologi komputer boleh bergerak seiringan untuk menceriakan dunia sastera dan lebih penting ialah dunia manusia.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Peranan Sastera dalam                             Dunia Teknologi Maklumat” dalam Utusan Malaysia)





Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Apakah maksud rangkai kata fenomena keruntuhan nilai moral?                            [ 2 markah ]

(ii)         Nyatakan kepentingan sastera dalam perkembangan Teknologi Maklumat dan komunikasi                                                                                                                         [ 3 markah ]

(iii)        Pada pendapat anda, adakah penyiaran hasil sastera di Internet akan merugikan para karyawan sastera di negara kita?                                                                                                [ 4 markah]

JAWAPAN

Isi penting Rumusan:

1          Pendahuluan
            Petikan membincangkan fungsi sastera dalam dunia Teknologi Maklumat dalam kalangan generasi muda/pada masa kini

2          Isi tersurat :fungsi sastera
            @karya sastera dalam dunia TM penting untuk menghasilkan generasi baharu yang akan memimpin negara
            @melalui sastera, mereka memperoleh kepintaran mengurus emosi
            @karya sastera yang bermutu mampu mendidik generasi muda menghadapi cabaran dalam era globalisasi
            @ karya sastera yang mampu melahirkan generasi intelek yang mempunyai nilai kemanusiaan
            @ sastera mampu melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi, dan intelek
            @ menceriakan dunia sastera dan dunia manusia.

3          Isi-isi tersirat
            @Kementerian Pelajaran hendaklah menyediakan bahan Komsas dalam bentuk CD
            @Pertandingan penulisan kreatif hendaklah dijalankan dalam talian dengan lebih kerap
            @Pihak tertentu mestilah mewujudkan laman web sastera dengan lebih banyak supaya peminat sastera boleh mengakses secara berbayar

4          Kesimpulan
            Semua pihak hendaklah memanfaatkan karya sastera dalam dunia TM supaya dapat menghasilkan remaja yang kritis dan kreatif

Jawapan Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)         Apakah maksud rangkai kata fenomena keruntuhan nilai moral?                   [ 2 markah ]
            -gejala kemerosotan akhlak

(ii)        Nyatakan kepentingan sastera dalam perkembangan Teknologi Maklumat dan komunikasi   [3 markah ]
            -sastera dapat diperluas melalui Internet
-peminat sastera dapat berkomunikasi antara satu dengan yang lain melalui e-mel
-penghantaran hasil sastera dapat dilakukan dengan lebih cepat untuk disiarkan dalam pelbagai media
                                                                                               
iii)       Pada pendapat anda, adakah penyiaran hasil sastera di Internet akan merugikan para karyawan sastera di negara kita?                                                                 [ 4 markah]
            @Tidak.-peminat sastera boleh melanggan karya sastera dalam talian dengan dikenakan bayaran tertentu.
           -Kaedah ini lebih mudah dan mereka akan memperoleh khalayak pembaca dari seluruh dunia. Hal ini demikian kerana banyak peminat sastera di luar nagara seperti pelajar tidak dapat membaca majalah sastera kerana majalah sastera tidak dijual di luar negara.
           
            @Ya.Kerana peminat sastera di luar negara akan dapat mengakses hasil karya tersebut secara percuma.
            -akta hak cipta tentang perkara inibelum diadakan lagi bagi membendung kegiatan penciplakan.      
           


Tiada ulasan:

Catat Ulasan