Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa
berlegar-legar sekitar watak utama, iaitu Adnan. Pada peringkat awal
penceritaan, novel ini mengisahkan kehidupan Adnan semasa kecil. Beliau
dilahirkan di sebuah kampung di Sungai Ramal, Selangor. Rata-rata penduduk kampung
itu masih berada dalam kemiskinan. Kehidupan mereka bergantung pada sawah dan
kebun getah yang luasnya sekadar cukup makan sahaja. Keadaan ini turut dirasai
oleh Pak Saidi dan Mak Milah, iaitu bapa dan ibu Adnan yang membesarkan tiga
orang anak, iaitu Adnan, Ahmad, dan Amarullah. Adnan merupakan anaksulung
keluarga Pak Saidi. Sewaktu masih kecil, Adnan merupakan anak yang rajin
membantu keluarganya dan taat akan perintah orang tuanya. Walaupun usianya baru
mencecah sepuluh tahun, setiap pagi Adnan akan pergi ke kebun getah untuk
membantu orang tuanya menoreh getah. Selain itu, dia mengerjakan sawah bendang.
Pak Saidi sebenarnya berketurunan
pahlawan. Beliau sengaja merahsiakan keturunannya kerana khuatir akan diburu
oleh pihak penjajah kerana moyangnya menjadi orang buruan Inggeris. Darah
kepahlawanan itulah yang mengalir dalam jiwa Adnan. Semangat patriotik yang
dimiliki oleh Pak Saidi amat tebal. Pak Saidi amat mengambil berat tentang
sejarah tanah air. Beliau senantiasa menekankan peri pentingnya orang-orang
Melayu mengubah kehidupan di negara sendiri. Para penjajah telah mengambil
kekayaan negeri ini dan menjadikan kaum peribuminya hidup dalam kemiskinan.
Nasib orang-orang Melayu terpinggir dan tidak terbela. Pak Saidi tidak mahu
anak-anaknya mewarisi pekerjaannya. Pak Saidi memiliki keazamanan yang tinggi
terhadap masa depan anak-anaknya. Pengetahuan Pak Saidi tentang sejarah tanah
air dikagumi oleh penduduk kampungnya.
Sejak kecil, Pak Saidi tidak
mengabaikan tanggungjawab memberikan didikan terbaik untuk anakanaknya. Pak
Saidi mahukan anak-anaknya berbakti kepada agama, bangsa, dan tanah air. Pak
Saidi sedar bahawa dengan ilmu pengetahuan sahajalah negara akan dapat
dibangunkan. Pihak penjajah sememangnya tidak suka orang-orang Melayu menjadi
pandai. Atas dasar itu, Pak Saidi berhasrat mahu menghantar anak-anaknya
mendapatkan ilmu pengetahuan di sekolah aliran Inggeris. Tindakan Pak Saidi itu
mendapat tentangan daripada masyarakat kampung yang khuatir anak-anak Pak Saidi
akan diresapi pengaruh agama Kristian, dan seterusnya menjadi murtad.
Adnan bersekolah di sebuah
sekolah aliran Inggeris. Di sekolah, Adnan terkenal sebagai pelajar yang rajin
dan pintar. Sikap ringan tulangnya amat disenangi oleh temanteman dan juga
guru-guru sekolah. Adnan menyatakan cita-citanya untuk menjadi askar. Setelah
tamat persekolahan, dia diterima menjadi guru pelatih di Sekolah Melayu Sungai
Ramal. Namun begitu, bidang perguruan bukanlah minatnya. Cita-citanya hanyalah
satu, iaitu untuk menjadi askar. Adnan terpilih menjadi askar dalam temu duga
yang diadakan di Port Dickson. Adnan berkahwin dengan Sophia. Adnan membawa
isteri dan anakanaknya ke Singapura. Namun, Adnan terpaksa menghantar anak-anak
dan isterinya pulang ke kampung apabila mendengar berita Jepun akan menyerang
Singapura.
Pada Sabtu 6 Disember 1941, suatu
persidangan telah berlangsung di Manila yang dihadiri pegawaipegawai Tentera
Laut Amerika Syarikat dan British. Laporan perisikan menyatakan bahawa angkatan
laut Jepun telah belayar menuju ke Asia. Risikan mendapati sekurang-kurangnya
25 buah kapal pengangkut yang diiringi oleh kapal tempur, kapal penjajap, dan
kapal pembinasa sedang menuju ke Laut China Selatan. Hal ini merupakan isyarat
yang jelas bahawa Jepun akan terlibat dalam Perang Dunia Kedua.
Batalion Kedua Askar Melayu ini
ditempatkan di Kelantan menentang pendaratan askar Jepun dan mereka terlibat
dalam pertempuran di Pantai Cahaya Bulan pada 8 Disember 1941. Pada hari
pertama askar Jepun mendarat, mereka telah ditentang hebat oleh askar Melayu yang
dibantu oleh tentera India British yang berkubu di sepanjang pantai. Pada hari
kedua, kapal-kapal perang Jepun telah melepaskan tembakan di sepanjang pantai
menyebabkan banyak askar terkorban. Askar Melayu terus bertahan dan berjaya
menggagalkan pendaratan askar Jepun. Namun begitu, pada hari yang ketiga, Askar
Melayu yang sedang bertempur diarahkan supaya berundur. Askar Jepun akhirnya
berjaya mendarat di Kelantan setelah tiga hari bertempur.
Pada mulanya British begitu yakin
akan kekuatan tenteranya untuk menangkis serangan askar Jepun. Sebaik-baik
sahaja mendapat laporan bahawa tentera Jepun akan mendarat di Kota Bharu,
Inggeris telah menghantar askarnya berkubu di sepanjang pantai. British juga
menghantar dua buah kapal perang, iaitu Prince of Wales dan Repulse untuk
mempertahankan Tanah Melayu. Malangnya, keduadua buah kapal perang kebanggaan
British itu berjaya ditenggelamkan oleh kapal terbang Jepun yang melakukan
serangan kamikaze. Berita tenggelamnya dua buah kapal perang itu telah
mengejutkan British sekali gus melemahkan moral dan semangat askarnya.
Pihak Inggeris percaya bahawa
kubu pertahanannya di Singapura kebal. Malah Inggeris yakin bahawa kubunya di
Singapura itu tidak akan dapat ditembusi oleh askar Jepun. Dalam pertempuran di
Kelantan dan di Singapura, askar Melayu telah menunjukkan keberanian dan
semangat keperwiraan yang hebat. Sebanyak 152 orang askar Melayu, termasuk 7
orang pegawai Melayu yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu terkorban. Antara
pegawai askar Melayu yang terkorban itu termasuklah Leftenan Adnan bin Saidi.
Beliau bersama-sama 42 orang anggotanya telah berjuang sehingga ke titisan
darah yang terakhir. Pada 15 Februari 1942, askar Jepun berjaya menakluki
Singapura setelah berlaku pertempuran yang hebat. Akhirnya, British terpaksa
menyerah kalah kepada Jepun.
Soalan latihan:
Terdapat beberapa peristiwa yang menarik minat pembaca dalam novel yang anda kaji.Bincangkan. [6 markah]
Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib.Peristiwa menarik yang pertama ialah peristiwa Pak Saidi berjaya membunuh beberapa orang tentera Jepun. Pak Saidi telah melawan dan menikam tentera Jepun dengan hanya menggunakan sebilah keris pusaka peninggalan ayahnya. Pak Saidi telah berjaya membunuh lima orang dan mencederakan 15 orang tentera Jepun yang lain semasa dia dipaksa menaiki trak oleh Leftenan Renya Mutuguchi. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana pembaca kagum akan semangat patriotik dan keberanian Pak Saidi yang sanggup berjuang mempertahankan maruah negara dan keluarga hingga titisan darah terakhir.
Peristiwa penduduk kampung tidak memberikan maklumat kepada tentera Jepun yang mencari ahli keluarga Leftenan Adnan di Kampung Sungai Ramal juga antara peristiwa menarik dalam novel ini. Mereka menyembunyikan keluarga Adnan. Hanya Pak Saidi yang berjaya dikesan oleh Leftenan Renya Mutuguchi. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana wujudnya kerjasama dalam kalangan penduduk kampung untuk menyelamatkan keluarga Leftenan Adnan yang telah terkorban demi negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan