Untuk tugasan PT3 sejarah,fahami tajuk dan kenal pasti fakta,huraian dan contoh bagi isi-isi pentingnya.
Empat proses bertulis mesti dilakukan iaitu
a)jadual kerja,
b)proses awal,
c)kerangka kasar dan
d)penulisan laporan.
Jadual kerja merupakan perancangan terhadap kerja-kerja yang perlu dilakukan bermula daripada menerima soalan hinggalah proses menghantar laporan.
Proses awal pula merupakan ringkasan isi penting bagi setiap bahagian soalan yang dikemukakan.Boleh dibuat dalam pelbagai cara berserta sumbernya.
Kerangka kasar pula merupakan perincian daripada proses awal iaitu pelajar dikehendaki mengenal pasti isi penting,huraian dan contoh bagi isi-isi penting yang diperoleh.
Penulisan laporan merupakan proses menghasilkan esei yang lengkap.Binalah esei sendiri dengan penguasaan Bahasa Melayu.Gunakan penanda wacana atau perkataan yang sesuai terutamanya untuk contoh ayat.
Ketiga-tiga proses di atas dibuat mulai sekarang manakala proses penulisan laporan/esei dibuat dalam masa 8 waktu pdp di sekolah.
Pengenalan
Pengenalan
Idea penubuhan persekutuan dikemukakan oleh
Frank Swettenham pada tahun 1892 kepada Gabenor Negeri-negeri Selat, Cecil
Smith. Pada tahun 1893, Cecil Smith menghantar laporan kepada Pejabat Tanah
Jajahan mencadangkan penubuhan persekutuan yang terdiri daripada Perak,
Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Dalam laporan itu, beliau menegaskan
penubuhan persekutuan akan menguntungkan British dan negeri tersebut dari segi
politik, ekonomi dan sosial. Frank Swettenham mengambil inisiatif dengan
mendapatkan persetujuan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar
Negeri Sembilan terhadap penubuhan persekutuan. Pada 1 Julai 1895, Sultan
tersebut menandatangani perjanjian persekutuan. Pada 1 Julai 1896, Negeri-negeri
Melayu Bersekutu ditubuhkan semasa Sir Charles Mitchell menjadi Gabenor
Negeri-negeri Selat.
Faktor-faktor penubuhan
1.
Untuk mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran
Perlaksanaan sistem Residen telah menyebabkan Residen dilantik
di Perak pada November 1874, di Selangor pada Disember 1874, Pahang pada tahun
1888 dan Negeri Sembilan pada tahun 1895. Residen dihantar sebagai penasihat
untuk menasihati Sultan dalam semua hal kecuali hal-hal yang berkaitan dengan
agama Islam dan adat-istiadat orang Melayu. Walau bagaimanapun, Residen tidak
diberi garis panduan di dalam melaksanakan tugas di Negeri-negeri Melayu.
Perlaksanaan sistem Residen bergantung kepada sepenuhnya di atas kebijaksanaan
Residen yang dilantik. Kejayaan dan kegagalan menjadi tanggungjawab Residen.
Akibatnya, berlaku ketidakseragaman dalam pentadbiran di negeri Perak, Selangor,
Pahang dan Negeri Sembilan. Kemajuan di antara negeri ini juga tidak seimbang
kerana kebolehan dan cara pentadbiran Residen berbeza-beza. Terdapat juga
perbezaan-perbezaan dalam pentadbiran Undang-undang Tanah, keadilan dan sistem
cukai di antara negeri-negeri tersebut. Kemajuan juga tidak seimbang di mana
negeri yang kaya iaitu Perak dn Selangor lebih maju dari negeri yang miskin
seperti Pahang. Kerjasama antara negeri sukar dijalankan sebab negeri ini
mempunyai unit politik yang berasingan. Frank Swettenham berpendapat penubuhan
persekutuan akan mewujudkan keamanan dan kecekapan pentadbiran kerana
pentadbiran akan dijalankan mengikut arahan pusat. Perkara yang berkaitan
seperti sistem pentadbiran, cukai, undang-undang tanah dan keadilan akan
disatukan dan diselaraskan. Hal ini akan menjimatkan kos pentadbiran. Usaha
memajukan sistem perhubungan juga dapat dilaksanakan dengan menghubungkan jalan
raya dan keretapi di negeri tersebut. Pada dasarnya, penubuhan persekutuan akan
mewujudkan kerjasama ekonomi, politik dan sosial.
2.
Mengehadkan kuasa Residen
Perlaksanaan sistem Residen telah menyebabkan perlantikan
Residen di Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Walaupun Residen
dilantik sebagai penasihat, mereka muncul sebagai kuasa paling berkesan kerana
segala urusan pentadbiran dijalankan atas arahan Residen. Sultan dan Majlis
Negeri tidak dapat menyekat kuasa Residen. Malah Sultan dan pembesar Melayu
terpaksa merujuk kepada Residen dalam menjalankan pentadbiran negeri. Majlis
Mesyuarat Negeri kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran kerana Residen
mempunyai kuasa mutlak. Semua undang-undang yang diluluskan seperti
Undang-undang Tanah mesti ditandatangani oleh Residen sebelum berkuatkuasa.
Gabenor Negeri-negeri Selat juga tidak dapat mengawal kuasa Residen kerana
beliau berada di Singapura dan sibuk dengan urusan-urusan Negeri-negeri Selat.
Penubuhan persekutuan akan mengurangkan kuasa Residen kerana mereka terpaksa
tertakluk kepada arahan kerajaan pusat dan pentadbiran negeri.
3.
Masalah kewangan Pahang
Ahli-ahli sejarah seperti Profesor Khoo Kay Kim dan K.G.
Tregonning berpendapat bahawa masalah kewangan Pahang menyebabkan British
menubuhkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. British menduduki Pahang pada tahun
1886 di mana J.P. Rodgers menjadi Residen pertama. British mengambil Pahang
dengan harapan Pahang mempunyai prospek ekonomi cemerlang. Apa yang sebenarnya
ialah Pahang merupakan negeri miskin dengan jumlah penduduk dan hasil bumi yang
kurang. Pada tahun 1890-an, Pahang menghadapi masalah kewangan. Dalam
menjalankan pentadbiran, British mendapat bantuan kewangan dari Negeri-negeri
Selat. Pada akhir tahun 1891, hutang Pahang pada Negeri-negeri Selat ialah $600
ribu. Pada akhir tahun 1892, hutang meningkat kepada $800 ribu. Masalah kewangan
Pahang semakin runcing apabila berlaku kebangkitan Pahang 1891-1895. Jadi
beberapa cadangan dikemukakan oleh British untuk mengatasi masalah ini.
Cadangan pertama ialah British berundur dari Pahang dan
menyerahkan pentadbiran kepada Sultan. Langkah ini tidak dapat dilaksanakan
kerana ia menjatuhkan maruah British. Tindakan ini juga membuka peluang kepada
kuasa lain untuk bertapak di Pahang yang sudah tentu akan menjejaskan
kepentingan British.
Cadangan kedua ialah British mendapatkan pinjaman dari
Negeri-negeri Selat. Ia tidak dapat dilaksanakan kerana pada tahun 1890-an,
Negeri-negeri Selat juga menghadapi masalah kewangan. Hutang yang berjumlah $800
ribu pada tahun 1892 masih belum diselesaikan.
Cadangan ketiga ialah British mendapat bantuan kewangan dari
negeri yang kaya seperti Perak dan Selangor. Cadangan ini tidak dapat
dilaksanakan kerana Perak dan Selangor enggan membantu sebab ianya satu unit
politik berasingan.
Diharapkan dengan penubuhan persekutuan, hasil negeri kaya
seperti Perak dan Selangor dapat digunakan untuk membantu negeri-negeri miskin
seperti Pahang jika negeri-negeri ini digabungkan sebagai satu unit politik.
Frank Swettenham dan C.D. Cowan (Pegawai Tanah Jajahan) menegaskan British tidak
sepatutnya berundur dari Pahang sebaliknya memajukan Pahang daripada hasil Perak
dan Selangor apabila ia bergabung.
4.
Keselamatan
A.C. Miller
menegaskan faktor keselamatan menyebabkan penubuhan Negeri-negeri Melayu
Bersekutu pada tahun 1896. British bimbang kekacauan seperti Perang Perak pada
1875-an dan Kebangkitan Pahang 1891-1895 akan berlaku lagi. Penubuhan
persekutuan akan membolehkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai kemampuan
dan keupayaan dari segi ketenteraan, khususnya dalam menjaga keamanan
persekutuan tanpa mengharapkan bantuan luar. C.P. Lucan dalam laporannya
menegaskan penubuhan persekutuan perlu dilihat dari segi aspek keselamatan
negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat.
5.
Dasar British
Memang menjadi
dasar British pada akhir abad ke-19 untuk menggabungkan negeri kecil di bawah
satu pentadbiran yang dikenali sebagai persekutuan. Penubuhan persekutuan akan
memberi kebaikan politik, ekonomi dan sosial kepada British dan Negeri Melayu.
Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan selepas kejayaan British dalam
penubuhan persekutuan di Amerika Utara, India, Afrika, Australia dan New
Zealand. Pendapat ini disokong oleh ahli sejarah seperti A.C. Miller dalam
bukunya “Federation Decision of 1895” dan Jagjit Singh dalam bukunya
“Administration of the Federation Malay States 1896-1920”.
Syarat-syarat perjanjian persekutuan
1.Perak, Pahang Selangor dan Negeri Sembilan digabungkan
sebagai persekutuan yang dikenali sebagai “Ngeri-negeri Melayu Bersekutu”.
Persekutuan menjadi negeri lindungan British di mana hal ehwalnya dikuasai oleh
British.
2.Perjanjian ini mengesahkan semua perjanjian yang
ditandatangani di antara keempat-empat negeri itu.
3.Kuasa Sultan hanya terhad ke atas negeri tersebut. Sultan
tidak boleh mengadakan hubungan dengan kuasa lain tanpa kebenaran British.
4.Persekutuan diketuai oleh Residen Jeneral.
5.Gabenor Negeri-negeri Selat dilantik sebagai Pesuruhjaya
Tinggi Persekutuan.
6.Residen akan menjalankan pentadbiran mengikut arahan
kerajaan pusat.
7.Beberapa jabatan persekutuan akan ditubuhkan.
8.Kuala Lumpur menjadi ibu negeri.
9.Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan menubuhkan pasukan
tentera untuk menjaga keamanan persekutuan dan Negeri-negeri Selat jika
diperlukan.
10.Kerjasama antara negeri akan dijalankan dalam politik, ekonomi
dan sosial.
11.Majlis Mesyuarat Negeri diberi kuasa meluluskan undang-undang
tetapi digubal oleh pegawai persekutuan yang dikenali sebagai Penasihat
Undang-undang.
12.Majlis Mesyuarat Raja-raja akan ditubuhkan.
13.Majlis Mesyuarat Persekutuan yang menjadi badan pentadbiran
Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan ditubuhkan.
14.Tiada syarat dalam perjanjian ini yang bertujuan mengurangkan
kekuasaan dan kewibawaan Sultan.
Kesan-kesan
1.
Politik
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu berjaya mewujudkan
keseragaman dan kecekapan pentadbiran di seluruh persekutuan. Keamanan dan
peraturan yang stabil dan menyeluruh berjaya diwujudkan di seluruh persekutuan.
Perkara yang berkaitan dengan persekutuan seperti sistem pentadbiran, cukai,
keadilan, Undang-undang Tanah dapat disatu dan diselaraskan kerana semua urusan
pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat, khususnya arahan Residen
Jeneral yang mengenai persekutan. Bagi memudahkan pentadbiran, beberapa jabatan
seperti kewangan, polism kastam, perhutanan, hal-ehwal orang Cina, kerja raya,
keretapi ditubuhkan. Frank Swettenham dilantik sebagai Residen Jeneral pertama
pada 1 Julai 1896. Negeri-negeri Melayu Bersekutu bukan merupakan sebuah
persekutuan dalam erti kata sebenarnya lebih merupakan kesatuan politik. Semua
urusan pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat khususnya Residen
Jeneral yang berkuasa penuh dalam semua hal-ehwal termasuk kewangan. Punca utama
hasil (duti eksport) juga dibawah kawalan kerajaan pusat. Tiada
pembahagian antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Kerajaan negeri hanya
mengikut arahan pusat dalam menjalankan pentadbiran. Penubuhan Jabatan
Persekutuan menyebabkan tumpuan besar ke atas kerajaan pusat. Jabatan negeri
mengikut arahan jabatan pusat.
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu menyebabkan Residen Jeneral muncul
sebagai orang paling berkuasa dalam persekutuan kerana semua urusan pentadbiran
dijalankan atas arahannya. Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri tidak
dapat mengawal kuasanya. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam
menjalankan pentadbiran negeri. Gabenor Negeri-negeri Selat yang dilantik
sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan juga tidak dapat mengawal kuasa Residen
Jeneral kerana beliau berada di Singapura untuk mentadbir Negeri-negeri Selat.
Selain itu, sudah menjadi kecenderungan Residen Jeneral menjalankan pentadbiran
tanpa merujuk kepada Pesuruhjaya Tinggi. Majlis Mesyuarat Persekutuan yang
diharap mengawal kuasa Residen Jeneral tidak ditubuhkan sehingga tahun 1909.
Penubuhan
persekutuan juga menyebabkan Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri
kehilangan kuasa. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam
menjalankan pentadbiran. Kuasa Sultan hanya dalam hal-ehwal agama Islam dan adat
resam Melayu. Residen tidak lagi bebas menjalankan pentadbiran negeri kerana
mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral. Majlis Mesyuarat Negeri
kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran. Majlis Mesyuarat Negeri diberi
kuasa meluluskan undang-undang tetapi undang-undang digubal oleh Pegawai
Persekutuan yang dikenali sebagai Penasihat Undang-undang. Majlis Mesyuarat
Negeri tiada kuasa pembatal dan terpaksa meluluskan undang-undang yang
dipersetujui. Penubuhan Jabatan Persekutuan telah menyebabkan lebih ramai
Pegawai British yang diambil tugas. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah
Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditadbir secara langsung oleh British. Pemusatan
kuasa yang keterlaluan telah menimbulkan bantahan Sultan, contohnya, dalam
Majlis Mesyuarat Raja-raja Kedua di Kuala Lumpur pada tahun 1903, Sultan Idris
(Perak) telah mengecam hebat pemusatan kuasa dan mendesak diambil langkah
melaksanakan desentralisasi (pengagihan kuasa) bagi mengembalikan kuasa Sultan,
Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri. Sultan Idris juga mendesak lebih ramai
orang Melayu dilantik dalam jabatan persekutuan. Penubuhan persekutuan
membolehkan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri
Sembilan bertemu dan berbincang bersama-sama kepentingan bersama dalam Majlis
Mesyuarat Raja-raja sejak tahun 1897 dan Majlis Mesyuarat Persekutuan sejak
1909.
2.
Ekonomi
Perkembangan ekonomi yang pesat di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan kestabilan
politik telah membawa kepada kestabilan ekonomi. Keseragaman dan kecekapan,
keamanan dan keaturan serta pentadbiran yang berkesan telah menyebabkan lebihan
hasil dan hasil persekutuan dapat digunakan oleh semua negeri dalam semua
gabungannya. Keadaan politik dan peluang-peluang ekonomi telah menggalakkan
pelabur-pelabur dari Negeri-negeri Melayu atau Seberang Laut untuk melibatkan
diri dalam kegiatan ekonomi, khususnya bijih timah dan getah. Kedatangan mereka
telah menyebabkan berlakunya pertambahan hasil di Negeri-negeri Melayu
Bersekutu, contohnya hasil Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1896 berjumlah
$8.5 juta telah meningkat kepada $24 juta pada tahun 1909. Pembinaan sistem
jalan raya dan jalan keretapi terutamanya yang menghubungkan negeri telah
memajukan lagi kegiatan ekonomi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1904,
sudah terdapat jalan raya sepanjang 2400 km dan jalan keratapi sepanjang 340
batu. Pada tahun 1903, terdapat jalan keretapi dari Perai ke Seremban dan
disambungkan ke Johor Bahru pada tahun 1909.
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah memajukan perusahaan bijih timah
dan getah. Buktinya pada tahun 1889 eksport bijih timah Perak, Pahang Selangor
dan Negeri Sembilan berjumlah 20000 tan. Pada tahun 1904, eksport bijih timah
persekutuan ialah 70000 tan. Selepas penubuhan persekutuan, orang-orang Eropah
mula mengambil alih penguasaan ke atas perlombongan-perlombongan bijih timah
yang dikuasai oleh orang-orang Cina. Begitu juga dengan perusahaan getah yang
semakin berkembang selepas penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun
1897, hanya terdapat 345 ekar, 1905 – 50 ribu ekar dan 1909 meningkat kepada 200
ribu ekar yang ditanami getah.
3.
Sosial
Penubuhan Negeri-negeri Melayu
Bersekutu telah berjaya mewujudkan keamanan dan peraturan. Jaminan keselamatan
dan persamaan hak di sisi undang-undang telah menggalakkan imigran Cina dan
India, lebih-lebih lagi terdapat peluang dalam perkhidmatan persekutuan dan
perkembangan bijih timah. Kedatangan imigran telah menyebabkan pertambahan
penduduk di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Selain itu, kedatangan imigran juga
mewujudkan masyarakat majmuk. Orang-orang Cina dan India adalah masyarakat yang
berasingan dan tidak dapat mengasimilasikan diri dalam masyarakat Melayu.
Penubuhan pesekutuan menyebabkan perutmbuhan dan perkembangan bandar-bandar
seperti Taiping, Kuala Lumpur, Kelang dan lain-lain lagi.
Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan sosial seperti perhubungan, kesihatan,
pelajaran dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kemudahan sosial itu mempunyai
kepentingan ekonomi kerana ia disediakan di kawasan yang mempunyai kegiatan
ekonomi. Pada tahun 1909, terdapat 52 buah klinik di persekutuan dan 1904
kemudahan perhubungan diadakan (2400 km jalan raya dan 340 batu jalan keretapi).
Dalam bidang pelajaran, banyak sekolah-sekolah didirikan di Negeri-negeri Melayu
Bersekutu. Pada tahun 1907, terdapat 266 buah sekolah Melayu, 1903 terdapat 15
buah sekolah Tamil dan 1911, 50 buah sekolah Cina. Selain itu, terdapat sekolah
Inggeris yang didirikan oleh kerajaan dan mubaligh. Pada tahun 1905, Maktab
Melayu Kuala Kangsar dibina khas untuk anak-anak golongan bangsawan. Pada tahun
itu, kerajaan membina maktab teknik di Kuala Lumpur untuk menyediakan tenaga
mahir bagi Jabatan Kerja Raya dan keretapi.
DURBAR
1.Pada tahun 1897, DURBAR (Persidangan Rajaja Melayu) yang
pertama diadakan di Kuala Kangsar kerana British menghormati Sultan Idris Syah.
2.DURBAR ialah persidangan di antara Pesurahjaya Tinggi,
Residen Jeneral, Residen dan Raja-raja Melayu.
3.Persidangan ini diadakan untuk membincangkan kepentingan
bersama.
4.DURBAR ialah permulaan kepada institusi yang kini
dikenali sebagai Majlis Raja-raja Melayu.
5.Fungsi utama DURBAR:
a.Mewujudkan kerjasama dan perpaduan di antara
keempat-empat negeri Melayu.
b.Membolehkan Raja-raja Melayu menasihati kerajaan
persekutuan.
6.DURBAR tidak ada kuasa untuk menggubal undang-undang.
7.DURBAR yang kedua diadakan di Kuala Lumpur pada tahun
1903.
8.DURBAR dimansuhkan apabila Majlis Mesyuarat Persekutuan
ditubuhkan tetapi wujud semula pada tahun 1927.
9.1930, DURBAR diadakan di Singapura dan dihadiri oleh 9
orang Raja.Bahan-bahan lain,sila rujuk di di bawah:
1.https://sejarahk2.wordpress.com/nota-sejarah-tingkatan-2/bab-2-kekayaan-hasil-bumi-mendorong-campur-tangan-british/
2.http://www.sinarharian.com.my/raja-raja-sepakat-faktor-pembentukan-negara-1.202033#.VYluUZkMNXo.facebook
3.http://stpmkertas2.blogspot.com/2010_09_01_archive.html
4.http://sejarah4ppudms.blogspot.com/2011/10/negeri-negeri-melayu-bersekutu-1896.html
5.http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm
Bahan-bahan tersebut lebih kurang sama sahaja,cuma hasil penulisan saja yanga berbeza.Ada antaranya ringkas,padat dan sangat padat.
Thank you very2 much !!!
BalasPadamSangat membantu :)
BalasPadamwow
BalasPadamWow..amat membantu dan senang difahami. Terimakasih cikgu.
BalasPadamthank you to help me
BalasPadam