Maksud
Titah baginda raja sultani,
“Mengapakah hutan jadi begini,
Kepanasan kita sekalian ini,
Baiklah berhenti kita di sini.”
Ø Raja sultani bertanya kenapa hutan
belantara musnah dan cuaca panas serta menitahkan berehat seketika.
Berhentilah ia seraya berperi,
Bertitah kepada tiga menteri,
“Ayuhai menteri pergilah diri,
Carikan air bawa ke mari.”
Ø Maka Raja dan tiga menteri berhenti
dan menitahkan menteri bertiga pergi mencari air bawakan kepada raja.
Rasaku ini sangatlah dahaga,
Barang sedikit carikanlah juga,
Pergilah berjalan menteri ketiga,
Mencari sungai dengan telaga.
Ø Raja memaklumkan dia sangat dahaga
dan meminta menteri ketiga carikan air macam mana cara sekalipun di sungai atau
di telaga.
Berjalanlah kuliling menteri mencari,
Bertemulah tamannya Bidasari,
Hairan tercengang ketiga menteri,
Lalulah berjalan menghampiri.
Ø Maka ketiga-tiga menteri pun pergi
mencari air dan mereka berjumpa Taman Bidasari dan tercengang kehairan
melihatnya dan menghampirinya.
Menteri pun sampai ke sana sudah,
Inikah tanaman yang indah,
Kepada temannya ia bersabda,
“Dahulu taman di sini tiada.”
Ø Maka menteri hampiri dan sampai ke
Taman Bidasari dan temannya berkata di sini tidak pernah wujud dan ada tanaman
seperti ini.
Ia berkata dengan sama teman,
“Siapa ini mempunyai taman,
Perbuatannya indah tempatnya nyaman,
Kalaukan ini rumah siluman.”
Ø Lalu seorang menteri berkata siapakah
yang memiliki taman ini, cara perbuatan dan senibinanya sungguh indah dan
tempatnya nyaman dan adakah ia milik orang bunian.
Menteri berjalan kuliling belukar,
Lalu bertemu pintunya pagar,
Dikunci dengan besi yang tegar,
Hendak dibuka terlalu sukar.
Ø Maka menteri bertiga pun mencari
sekeliling taman untuk mencari laluan dan pintu namun pintunya dipagar rapi dan
dikunci dengan besi yang cukup kuat, dan jika hendak buka memang sangat sukar.
Kembalilah seorang menteri yang mudah,
Berdatang sembah kepada baginda,
:Daulat tuanku duli seripada,
Berapa dicari air nan tiada.”
Ø Maka menteri bertiga tadi kembali
semula kepada raja mereka dan datang menghadap memberitahu bahawa mereka tidak
jumpa air sepanjang pencarian mereka.
Tema
Syair ini mengisahkan kesukaran untuk mendapatkan air sewaktu sesat di
dalam hutan.
Persoalan
Persoalan pentingnya menurut perintah pemerintah atau raja. Menteri
bertiga patuh dan taat kepada perintah raja mereka untuk mencari dan
mendapatkan air semasa mereka sesat di hutan.
Persoalan kepentingannya berusaha dengan gigih, iaitu menteri bertiga
berusaha mencari sumber air untuk raja mereka dan berjumpa dengan Taman
Bidasari namun taman itu dikunci.
Persoalan pentingnya air kepada manusia, air adalah salah satu sumber
tenaga dan minuman yang sangat diperlukan badan setelah berpeluh dan berpenat
seharian. Manusia hidup bergantung kepada air dan makanan.
Persoalan pentingnya menghargai air sumber khazanah ciptaan tuhan kepada
manusia. Kita perlu menjaga dan tidak boleh melakukan pembaziran air dengan
sewenang-wenangnya.
Bentuk
1) Syair ini mempunyai rangkap iaitu 8 rangkap yang sekata barisnya.
2) Syari ini terdiri daripada baris dalam setiap rangkap, iaitu 4 baris
setiap rangkap.
3) Syair ini mempunyai patah perkataan.Mempunyai 4 hingga 6 perkataan
setiap baris.
4) Syair ini mempunyai suku kata iiatu 8 hingga 13 suku kata setiap
baris.
5) Syair ini mempunyai rima akhir yang terikat iaitu aaaa
6) Nada syair ini adalah melankolik.
Gaya Bahasa
1) Bahasa Klasik iaitu penggunaan bahasa klasik dari bahasa melayu dan
nusantara
contohnya ; siluman – orang bunian
2) Sinkope – singkatan perkataan atau penyikatan kata
contohnya : ku
3) Bahasa Istana – Baginda, raja, duli, daulat, tuanku
4) Perlambangan – air
Nilai
Ketaatan – taat dan setia kepada seseorang atau ketua
Kesetiaan – setia dengan ketua
Kejujuran – jujur dalam perbuatan dan kata-kata
Kerjasama – bekerjasama dan berganding bahu melakukan sesuatu kerja atau
tugasan
Kegigihan – tekun dan gigih dalam melakukan sesuatu
Kesabaran – tahan diri atau bertindak dengan waras dan rasional
Pengajaran
Kita hendaklah taat kepada raja dan ketua. Contohnya menteri bertiga
patuh dan menurut perintah raja.
Kita mestilah menumpahkan kesetiaan kepada raja. Contohnya, menteri
bertiga berusaha mencari air kepada raja mereka dan setia mengikut dan
melakukan apa sahaja suruhan dan perintah raja.
Kita perlulah jujur dalam melakukan apa sahaja tindakan. Contohnya,
menteri bertiga jujur mengatakan mereka tidak bertemu sumber air.
Kita haruslah bekerjasama dalam melakukan tugas dan kerja. Contohnya,
menteri bertiga berganding bahu mencari air kepada raja mereka yang dahaga dan
kehausan yang sesat dalam hutan.
Kita hendaklah gigih berusaha dengan apa cara sekalipun. Contohnya,
menteri berusaha bersungguh-sungguh dengan gigih untuk mendapatkan air di Taman
Bidasari namun pintu pagar taman itu dikunci dengan sangat kuat menggunakan
besi yang tegar iaitu sukar dibuka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan